Cara Solat Ketika Mengandung

Assalamualaikum. Hai!


Aku banyak kali dah terbaca pertanyaan ramai ibu mengandung dalam satu group ibu hamil kat Facebook, macam mana cara solat bila perut dah besar dan tak larat lagi. Selalunya aku jawab dengan kongsikan pengalaman sendiri. 

Setakat 5 kali dah mengandung, macam-macam keadaan solat dah Allah izinkan aku rasai pengalaman. Jadi, kali ni aku nak nukilkan la dalam blog pula. Mungkin boleh jadi rujukan buat orang lain juga.


Kewajipan Solat Ketika Mengandung


Bagi aku, masa mengandung adalah rezeki yang paling best sekali sebab takda cuti solat. Banyak pahala dapat kumpul tau. Sangat rugi andai kata ada yang tinggal solat sewaktu mengandung dengan alasan tak larat nak solat. Allah dah bentangkan lorong untuk dapat pahala yang berlipat kali ganda waktu tu. Subhanallah.

Jadi apa pun keadaan kita waktu mengandung tu samada 'mabuk' atau perut dah besar, bukan alasan untuk tidak menunaikan kewajipan solat. 

Selagi belum sampai waktu untuk melahirkan, kita WAJIB solat. Dalam keadaan sedang kontraksi pun, masih tetap kena solat. Sekali pun dah turun darah atau pecah air ketuban, kena solat juga. Takda pengecualian. 

Seandainya ada kesukaran untuk melakukan rukun rukuk dan sujud, ada rukhsah (keringanan) untuk solat dengan cara tertentu. Islam itu sangat memudahkan urusan kita. Tapi jangan ambil mudah sehingga gagal tunaikan kewajipan.

Solat lah wahai ibu-ibu. Ada mukjizat yang Allah dah 'simpan' untuk kita dan anak yang bakal lahir.


Cara Solat Ketika Mengandung


Cara Solat Ketika Mengandung


Jadi dalam artikel ni aku nak kongsikan cara solat ketika mengandung untuk keadaan perut dah besar. Maksudnya masa tu kandungan dah 7 bulan ke atas. Aku tahu ada ramai yang bagi alasan tak boleh nak solat sebab perut dah besar susah nak bangun dan duduk waktu solat. Huhu. Sedih sangat. 😢

Aku  sendiri pernah di situasi rasa sukar nak bangun dan duduk waktu solat. Tapi itu bukan alasan untuk aku sengaja tinggalkan solat. Bukan nak cakap aku ni terpaling jaga solat. Aku ni hambaNya yang lemah dan hina. Masih banyak kekurangan aku. 

Tapi aku masih waras dan sedar yang solat adalah kewajipan aku sebagai hambaNya. Rukun Islam kedua yang wajib kita sebagai umat Islam 'pegang' dengan utuh. Sama-sama kita jaga ya wahai ibu-ibu. 

BACA JUGA : Solat Atas Keretapi 


Ini adalah cara bagaimana nak solat dengan keadaan perut yang dah besar dan sarat. 

Solat Seperti Biasa


Percaya tak, ada ibu-ibu yang dah sarat tapi masih boleh solat seperti biasa? Betul. Memang ada. Allah izinkan. Aku sendiri pernah rasa pengalaman tu. Masa mengandung yang sulung, kedua dan kelima. 

Walaupun perut dah besar sampai kaki sendiri pun tak nampak bila berdiri, aku masih dapat solat seperti biasa. Takda masalah pun untuk bangun dan duduk masa dalam solat. Alhamdulillah. 

Jika kita Allah berikan rezeki ni, bersyukurlah sebanyak mungkin sebab Allah permudahkan urusan kita dalam menunaikan kewajipan. 


Solat Duduk Di Atas Kerusi


Aku juga pernah solat dalam keadaan begini. Ketika mengandungkan yang ke-3. Ada 2 cara untuk solat duduk di atas kerusi. 

Keadaan pertama, untuk yang masih mampu berdiri tapi tak boleh nak turun ke bawah waktu sujud sebab khuatir sukar nak bangun berdiri semula. 

Keadaan kedua, untuk yang dah tak mampu nak berdiri semula disebabkan rasa mengah jika banyak pergerakan dan tak dapat nak turun ke bawah waktu sujud atas sebab-sebab tertentu seperti kaki bengkak.

Masih mampu untuk berdiri 

1. Berdiri tegak seperti biasa di awal solat
2. Rukuk seperti biasa
3. DUDUK di atas kerusi ketika sujud
4. Bangun berdiri semula masa rakaat seterusnya
5. Ulang situasi 2, 3 dan 4 sehingga habis solat

Tak mampu untuk berdiri semula

1. Berdiri tegak seperti biasa di awal solat
2. Rukuk seperti biasa
3. DUDUK di atas kerusi ketika sujud 
4. Kekal DUDUK di rakaat seterusnya sehingga habis solat

*NOTA : Tundukkan kepala dan badan ketika rukuk dan sujud sewaktu dalam keadaan duduk mengikut paras yang sewajarnya


Solat Duduk Di Atas Sejadah


Masa aku mengandung kali ke-4, Allah bagi aku peluang untuk rasa pengalaman solat secara duduk di atas sejadah. 

Sebolehnya usahakan untuk solat seperti ini jika betul-betul dah terlalu sarat. Untung sebab dapat rasa nikmat sujud. Lagipun banyak kebaikan yang ibu mengandung dapat masa posisi sujud tu antaranya memudahkan kepala bayi masuk ke laluan. 

Caranya :
1. Berdiri tegak seperti biasa di awal solat
2. Rukuk seperti biasa
3. Sujud seperti biasa
4. Bangun DUDUK untuk rakaat seterusnya (duduk seperti duduk di antara dua sujud) sehingga habis solat

*NOTA : Tundukkan kepala dan badan ketika rukuk mengikut paras yang sewajarnya dan sujud seperti biasa di setiap rakaat


Cara Solat Ketika Mengandung - Peranan Suami



Dalil Wajib Solat Dalam Keadaan Sakit Apa Pun


Diriwayatkan dalam satu hadis oleh ‘Imran Bin Husain RA, beliau yang sedang menghidap buasir bertanya kepada Baginda Nabi SAW tentang solatnya. 

Baginda SAW bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Solatlah secara berdiri, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan duduk, sekiranya kamu tidak mampu, maka (solat) dalam keadaan berbaring.

Riwayat al-Bukhari (1117)

Jika masa mengandung kita masih boleh berjalan walaupun perlahan, maksudnya kita masih mampu solat. Kalau tak boleh berjalan dengan kaki terpaksa duduk di atas kerusi roda pun, masih mampu untuk solat juga (duduk). Bahkan jika ketika mengandung kita ada masalah kesihatan yang membuatkan kita terpaksa berbaring contohnya bed rest disebabkan uri rendah atau rahim lemah, tetap kita masih mampu untuk melakukan solat (baring). 

Semua keadaan yang kita hadapi, solat tetap kena tunaikan. Jadi solatlah ikut kemampuan dengan rukhsah yang diberikan. Jangan tinggal solat.


Syarat Wajib Untuk Solat Duduk


Kena ingat satu perkara ini jika kita nak solat secara duduk, samada duduk di atas kerusi atau duduk di sejadah. 

Wajib berdiri di awal permulaan solat ketika mengangkat takbiratul ikram. Ini adalah syarat sah solat keseluruhannya.

Kemudian, teruskan dengan bacaan doa iftitah dan surah Al-Fatihah. Seterusnya rukuk seperti biasa (bagi yang mampu untuk tunduk rukuk), rukuk sekadar mampu (bagi yang tak boleh tunduk seperti biasa). 

Sebab pada aku, bukan perlu waktu yang lama pun untuk berdiri seketika buat rukun yang seterusnya seperti bacaan iftitah, surah Al-Fatihah dan rukuk selepas angkat takbir tu walaupun dibolehkan untuk terus duduk.

Cuba la eh buat semampunya. Sekejap je pun. Usahakan. Kita semua boleh InsyaAllah. Anggap seperti kita sedang bersenam untuk memudahkan proses kelahiran nanti. 


Peranan Suami


Sebagai seorang suami, imam kepada isterinya, wajib juga ambil tahu tentang ni. Suami yang baik akan memastikan keadaan solat isterinya ketika mengandung dengan membantu permudahkan urusan solat isteri. 

Banyak cara yang suami boleh bantu, contohnya :

1. Menyediakan kerusi bagi kemudahan isteri untuk solat duduk sekiranya tidak mampu berdiri. 
2. Sediakan air untuk isteri berwudhu di tempat solat tanpa perlu banyak bergerak. 
3. Jika isteri tidak tahu tentang cara solat ketika mengandung apabila sudah sarat, boleh ajarkan isteri caranya. 


Penutup

9 bulan kita mampu usung satu nyawa. Takkan solat yang tak sampai 5 minit setiap waktu kita tak mampu nak buat. Kita sangat mampu. Yakin tu ya wahai ibu-ibu yang dikasihi. 


Bisik-bisik :: Solat tiang agama. 

2 Ulasan

Membebel dengan penuh hemah. Komen awak adalah atas tanggungjawab sendiri. No hate speech okay. Terima kasih!

  1. alhamdulillah...sepnjg 4x pregnant, mampu solat seperti biasa...cuma bila dah berslin, terasa pelik plak xd perut...hahaha

    BalasPadam
  2. good sharing.. MA dulu masa dah sarat je tak larat nak bgn duduk, solat duduk atas sejadah... alhamdulillah...

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama

Borang Maklumat Hubungan