Hari Rabu lalu (25/6/26), keputusan UPKK 2025 dah diumumkan. Ramai la parents yang berkongsi keputusan yang anak-anak peroleh di media sosial masing-masing. Aku pun tak terkecuali juga. Sekadar coretan kenangan. Nanti anak dah besar, depa baca balik catatan ummi depa. Depa tahu la, Ummi Abah sentiasa dahulukan depa dalam apa jua perkara.
Masa tu, aku tengah kemas dapur. Encik CH baru balik dari kait sawit. Dia datang kat aku tunjuk skrin telefon dia. Memula tak perasan apa yang dia nak aku tengok. Rupanya keputusan UPKK dah keluar. Aku ucap alhamdulillah je la tanda bersyukur lepas dah tengok result abang Adan dapat. Korang tengok? Encik CH lagi alert pasal ni dari aku. Sabor je la. Otak mak sibuk sangat banyak benda nak fikir, macam gitu la jadinya.
Berkongsi Keputusan Anak, Tanda Riak?
Sibuk-sibuk pun, mak orang pertama yang menyibuk nak kongsi pasal result anak kat media sosial sendiri. Hahaha. Dah abahnya bukan sejenis aktif di media sosial. Nanti kenangan moment penting macam ni 'hilang' macam tu je. Jadi, mak ambillah peranan tulis catatan kenangan. Begituuu.
![]() |
| Sebahagian catatan aku di FB |
Ramai juga kengkawan aku yang berkongsi result anak masing-masing. Semua jenis meraikan apa pun keputusan yang anak dapat. Tak ada complain dan merendahkan anak-anak. Alhamdulillah. Circle aku jenis parents yang ada common sense dan berhati mulia. Tahniah korang!
Adakah berkongsi tentang keputusan anak-anak ni, terutamanya yang cemerlang, tandanya parents riak? Sebenarnya kita sendiri boleh 'nampak' dari cara perkongsian mereka. 'Nada' penulisan yang dicoretkan dapat menggambarkan semuanya. Apa pun, biarlah Allah yang menilai tindak-tanduk mereka. Kita cukuplah sekadar membaca saja. Jadikan pengajaran dan jangan buat benda yang sama.
Kat Threads banyak aku terbaca perkongsian parents yang kecewa dan menidakkan keputusan yang anak dapat walaupun dah kategori cemerlang (7A @ 8A). Sedih aku baca. Kenapa la korang ni haaa? Korang pressure anak-anak untuk capai target korang (9A) sampai menidakkan usaha yang anak dah buat? Sangat selfish! Kesian anak korang. Tolonglah muhasabah diri dan perbaiki sikap tu. Jadilah parents yang supportive untuk anak-anak. Depa bukan trofi untuk korang julang tinggi sekadar nak menunjuk kepada orang lain.
![]() |
| Result sekolah anak aku |
Reward Untuk Anak
Setiap kejayaan anak, pasti kita sebagai parents nak beri reward untuk dia, kan? Kami pun tak terkecuali juga. Selalunya kami tanya apa yang anak-anak sangat teringin nak dapatkan. Macam abang Adan, dia suka mainan yang dia boleh bina/cipta, contohnya Lego.
Sebelum dia minta apa yang dia nak, masa kami ambil dia balik dari sekolah lepas dapat result UPKK tu, dia ada lah cerita pasal kawan dia. Katanya, kawan dia cakap kalau kawannya dapat 9A nanti dapat hadiah handphone.
Aku pun cepat² la cakap sekadar nak ingatkan dia,
'Itu parents dia yang janji nak reward dia camtu. Ummi abah takde janji pun. No. Never until you're 18.'
Entah lah, aku dan encik CH memang tak berkenan tengok budak-budak terlalu expose dengan phone. Melekat je kat tangan tu tak lepas. Sakit mata tengok walaupun bukan anak kami. Hahaha. Sebab tu kami berpakat, untuk anak sendiri je la kita kawal.
Biar la orang cakap kami ni jumud pun. Kami cuma nak anak menikmati zaman kanak-kanak dan remaja selayaknya. Main la puas-puas dulu. Explore dunia sebenar. Bukan tatap phone sampai addicted. Itu kami punya rules.
Bukan menidakkan teknologi untuk abang Adan explore. Kami bagi je dia main game atau tengok video youtube kat komputer tu dengan pantauan dan masa yang ditetapkan. Benda lain kalau nak tahu, ummi abah ada untuk jadi rujukan. Kami Google hidup. 😆
![]() |
| Abang Adan dan reward mainan dia |
Meraikan Anak-anak Ikut Kemampuan
So, reward untuk result cemerlang UPKK yang abang Adan dapat, dia minta nak beli mainan. Seperti yang aku jangka. Jadi lepas balik sekolah tu, kami bawa la dia dengan adik-adiknya 'menyelam' mainan kat DIY.
Aku selalu remind dia, 'Kita raikan kecemerlangan awak ikut cara keluarga kita. Jangan bandingkan dengan orang lain, okay!'
Aku pun suka nak ingatkan kengkawan @ followers untuk raikan anak-anak. Biasa-biasa atau cemerlang keputusan yang anak dapat, raikan je ikut kemampuan tau. Jangan 'down' kan anak-anak walaupun keputusan depa dapat tak seperti yang diimpikan anak atau korang sendiri. Semua tu adalah hasil usaha anak dan izin dari Allah semestinya. Ingat yang tu je.🌹
Validate Perasaan Anak
Lagi satu, aku ni sejenis yang suka validate perasaan anak. Mungkin cara aku ni korang boleh cuba juga untuk praktikkan. Kalau tak biasa buat, boleh cuba buat slow-slow. Banyak sangat hikmahnya tau. Untuk diri korang sendiri dan anak-anak terutamanya.
Ni kisah lepas dapat result UPKK pada malam harinya. Selalunya sebelum tidur, anak-anak memang akan datang kat aku nak salam, peluk dan cium. Malam tu, aku pillow talk dulu dengan abang Adan. Tanya perasaan dia pasal result UPKK yang dia dapat.
Aku : Apa perasaan Adan dapat result tadi?Adan : (Dia senyum je)Aku : Takpe. Cakap je apa yang Adan rasa. Ummi nak tahu je.Adan : Sebenarnya Adan tak sangka pun dapat 8A.Aku : Kenapa? Adan rasa dapat apa? Adan target apa?
Dia diam lamaaa. Aku bagi masa kat dia. Pastu dia jawab,
Adan : Sebenarnya Adan target 9. Tapi semalam tiba² rasa macam boleh dapat 7 je. Sebab saya rasa adab dengan sirah banyak saya tak ingat masa jawab. Rupanya dapat 8A.Aku : Alhamdulillah. Takpe la. Itulah namanya rezeki Adan yang Allah nak bagi atas usaha Adan sendiri. Kena bersyukur okay. Ummi bangga dengan Adan. Jangan banding dengan orang tau.Adan : Baik ummi. Terima kasih. I love u.
Begitulah. Aku bukanlah mak yang terbaik. Tapi aku selalu usaha untuk validate perasaan anak tentang apa-apa pun. Tambah bab pelajaran ni.
Anak aku ni memang ramai aim dia nak compete. Aku tak nak dia rasa down kalau ada yang banding-banding dia dengan budak lain. Tambah bila dia dapat kurang sikit daripada dorang.
Sebabnya tahun lepas, pernah ada mak sorang girl yang selalu nak 'lawan' siapa nombor 1 dalam kelas cakap depan aku dengan Adan, 'Kali ni awak kalah dengan anak acik. Beza 1 markah. Akhirnya.' Masa tu temu murni untuk result exam mid-year. Kami baru sampai tetiba kena 'serbu' gitu. Aku masa tu terkejut weh. Sabor je la. 😌
Sejak tu, aku akan validate apa yang anak rasa. Aku tak suka bila orang buat camtu kat anak, sebab aku sendiri tak pernah bandingkan anak-anak dengan sesiapa pun hatta dengan anak-anak sedara sendiri. Pada aku depa ada 'milestone' tersendiri.
![]() |
| Si sulung kesayangan ummi abah dan adik² |
Peranan Ibu Bapa Yang Sewajarnya
Bab result pelajaran anak ni, kita sebagai parents janganlah melebih-lebih sangat. Pressure anak tak tentu hala. Faham je yang memang takde ibu bapa nak tengok anak 'gagal'.
Tapi ingatlah..
Yang usaha jawab exam tu, anak. Bukan kita.
Yang bagi ilham untuk anak jawab exam tu, Allah. Bukan kita.
Kita sebagai parents ni cukuplah hanya bertawakal pada Allah. Doakan yang terbaik untuk anak. Itu yang sebaiknya.
Andai ada usaha-usaha yang kita dah buat, contohnya hantar tuisyen, ajar sendiri dan sebagainya, itu sebenarnya memang tanggungjawab kita. Jangan persoalkan.
Apa pun pelajaran tentang agama ni tak terhenti setakat UPKK je tau. Kena berterusan selamanya. Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mendidik dan menghidupkan agama kepada anak-anak sebaik-baiknya. Sebab itulah panduan cara hidup kita hingga ke akhirat nanti.
Bisik-bisik :: Jadi ibu bapa sangat besar tanggungjawab yang kena pikul.
Tags
Parenting




